"Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.."
Sep
21
Posted by
MutiaraHadith
:: Pengertian Hadith ::
Menurut istilah ahli hadith pula ialah segala ucapan nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya. Yang dimaksudkan dengan keadaannya ialah segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti hal keputraannya,tempatnya dan segala yang berkaitan dengannya. Pengertian ini sama dengan pengertian sunnah menurut istilah golongan ahli hadith. Tetapi pengertian ini berbeza dengan pengertian ahli usul. Kerana mereka melihat dari sudut yang berlainan.
Ahli (ulama') hadith membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka terangkan segala yang bersangkutan dengan rasul, baik mengenai riwayat, perjalanannya, mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya, tutur katanya, perbuatan-perbuatannya sama ada yang dapat mewujudkan hukum atau tidak.
Ulama' usul membahaskan rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia mengeni perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan-pengakuannya berkaitan dengan perkara penetapan hukum.
Sementara itu ulama' fiqh membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang seluruh perbuatannya atau perkataannya atau menunjukkan kepada suatu hukum syara'. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para mukallaf dan perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus, makruh dan mandub (sunat).
0 comments:
Post a Comment